BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 6, 2009

Maksud 'Kefungsian Sosial' dalam kerja sosial

Di dalam praktis kerja sosial, terdapat beberapa matlamat atau fungsi kerja sosial yang mempunyai perkaitan yang rapat dengan pekerja sosial itu sendiri. Salah satunya ialah meningkatkan kefungsian sosial sama ada individu, keluarga, kumpulan mahupun komuniti. Dalam konteks ini, pekerja sosial memainkan peranan yang sangat besar dalam meningkatkan kapasiti individu untuk bertindak balas dengan persekitarannya.

Selain itu, pekerja sosial memainkan peranan untuk meningkatkan kemampuan individu dalam menyelesaikan masalah serta memilh jalan yang terbaik bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh klien. Pekerja sosial juga membantu seseorang individu untuk beradaptasi secara efektif dengan persekitarannya. Dalam mencapai matlamat-matlamat tersebut, pekerja sosial perlu mengenalpasti apakah punca kepada permasalahan yang dihadapi oleh individu bagi mencapai tahap hidu yang lebih baik.

Di samping itu, seseorang pekerja sosial hendaklah mengenalpasti tahap serta keupayaan individu tersebut untuk menyesuaikan dirinya dengan persekitaran. Bagi memastikan matlamat ini dapat dicapai, pekerja sosial juga perlu mengetahui apakah sumber dan kekuatan yang terdapat di persekitaran yang difikirkan dapat membantu meningkatkan keupayaan individu tersebut.

Seterusnya, pekerja sosial juga hendaklah membantu individu yang terlibat bagi meningkatkan kemahiran mereka untuk berhadapan denga masalah-masalah dalam kehidupan seharian. Selain itu, pekerja sosial juga membantu sesebuah masyarakat dalam mencari atau membina jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah yang berlaku.

Antara fungsi lain pekerja sosial ialah bertindak sebagai penyokong atau membantu memberikan sokongan terhadap usaha-usaha yang telah dilaksanakan bagi mengubah hidup mereka kea rah yang lebih baik.

0 comments: