BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 6, 2009

Kebajikan sosial dalam konteks '1 Malaysia'

Malaysia merupakan sebuah Negara yang sangat mementingkan kebajikan rakyatnya. Sejajar dengan konsep ‘1 Malaysia’ yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najid Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini juga selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-prinsip Rukun Negara.

Melalui konsep ‘1 Malaysia’, terdapat beberapa matlamat yang akan dipenuhi. Antaranya adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik untuk kita menghadapi sebarang cabaran. Selain itu,‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

Di dalam konsep ‘1 Malaysia’, terdapat beberapa nilai murni yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Antara nilai tersebut ialah kesetiaan.konsep ini juga bersesuaian dengan Negara kita yang mempunyai pelbagai bangsa, kaum, agama, dan sebagainya. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Nilai kedua yang diterapkan dalam ‘1 Malaysia’ ialah dari segi ketabahan. Nilai murni ini hendaklah ada di dalam setiap rakyat Malaysia. Sebagai contoh dalam konteks kebajikan sosial, golongan orang kurang upaya sentiasa dipinggirkan dan sifat ketabahan dan sentiasa berjuang untuk berjaya ini akan menolong seseorang itu mencapai kekayaan. Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan dari setiap penduduk di Malaysia. Perjuangan untuk mencapai kemajuan diri dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

Di samping itu, nilai penerimaan juga penting di dalam konteks kebajikan sosial di Malaysia. Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran. Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Selain itu, Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.

Kebajikan sosial dalam konteks ‘1 Malaysia’ juga menerapkan nilai Meritokrasi. Nilai murni merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pndalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut. Selain itu,meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang. Manakala dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

Nilai murni yang seterusnya ialah integriti. Integriti sangant penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan. Kita hendaklah bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima. Selain itu, kita juga mestilah berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna. Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan. Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan.Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah. Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

Dari segi pendidikan pula, pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Negara perlulah memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya. Di samping itu,budaya membaca hendaklah diterapkan dari awal lagi keran budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka. Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular. Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama. Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.

Sebagai kesimpulannya, isu kebajikan sosial di Malaysia dapat dipertingkatkan melalui nilai-nilai murni yang terdapat di dalam ‘1 Malaysia’. Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara. Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.


Sumber:
1. www.1Malaysia.com.my
2. Akhbar-akhbar tempatan
3. Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

0 comments: