BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 6, 2009

Prinsip dan kod etika dalam kerja sosial

Di dalam kerja sosial, terdapat beberapa prinsip dan kod etika yang perlu dipatuhi oleh pekerja sosial. Prinsip dan kod etika merupakan salah satu elemen yang penting dalam praktis kerja sosial dan mengawal secara keseluruhan praktis dan peranan dalam bidang ini. Tanpa prinsip dan kod etika mungkin matlamat kerja sosial tidak akan dicapai dan profesion ini tidak akan dihormati serta dipercayai oleh umum. Dalam keadaan tertentu, pekerja sosial perlu membuat keputusan dalam intervensi yang dijalankan berdasarkan nilai tersebut.

Antara prinsip dan kod etika tersebut ialah memberikan komitmen tinggi kepada kepentingan individu. Sebagai pekerja sosial, tidak kira dengan siapa kita bekerja, kita harus memberi memberi komitmen yang tinggi. Nilai menjadi semakin penting apabila kita bekerja dengan individu atau kumpulan yang agak dipinggirkan dalam masyarakat. Sebagai contoh, golongan miskin, orang kurang upaya dan sebagainya.

Prinsip yang seterusnya ialah menghargai hubungan kerahsiaan dengan klien. Sebagai pekerja sosial, kita perlu ingat bahawa klien yang datang kepada seseorang pekerja sosial dengan kepercayaan yang tinggi, mereka akan menceritakan semua rahsia yang menjadi punca kepada permasalahan mereka. Dalam keadaan ini kita harus menyakinkan mereka bahawa semua maklumat tersebut akan dirahsiakan.

Selain itu, komitment kepada perubahan sosial juga merupakan salah satu daripada prinsip dan kod etike kerja sosial. Sebagai seorang pekerja sosial, kita harus menanamkan perasaan untuk memperbaiki kehidupan sosial setiap individu dalam masyarakat. Kajian sosiologi menunjukkan bahawa keadaan ini boleh dicapai dengan melakukan perubahan sosial yang boleh memenuhi keperluan sosial masyarakat.

Memisahkan perasaan personal (personal feeling) dengan perhubungan professional. Semasa berhubung dengan klien dalam tempoh intervensi berlaku, kita harus berusaha untuk tidak melibatkan perasaan sendiri dalam hubungan kita dengan klien, kita harus mengekalkan hubungan yang professional.

Pekerja sosial juga hendaklah berkongsi dan memberikan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang ada kepada klien. Sebagai pekerja sosial, kita tidak boleh ‘kedekut ilmu’, ini bermakna kita hendaklah sentiasa untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan klien andainya perkongsian tersebut boleh meningkatkan peluang penyelesaian masalah yang dihadapi oleh klien.

Seterusnya ialah menghargai perbezaan yang wujud di kalangan individu atau kumpulan. Nilai ini ialah berkaitan dengan sikap prejudis kita terhadap kumpulan atau individu tertentu. Sebagai pekerja sosial, kita harus melihat setiap klien yang datang mempunyai kepentingan dan nilai tersendiri.contohnya semasa kita bekerja dengan kumpulan orang kurang upaya.

Di samping itu, berusaha pertingkatkan abiliti klien bagi menolong diri sendiri. Sebagai seorang pekerja sosial, kita harus sentiasa berfikir untuk mempertingkatkan abiliti klien kita untuk lebih berjaya, satu konsep yang dapat menjamin peningkatan ini ialah kesedaran klien untuk menolong diri sendiri. Kebanyakan klien yang datang kepada pekerja sosial biasanya dalam keadaan ‘helpness’ atau ‘hopeless’.

Prinsip dan kod etika yang terakhir ialah memberikan komitmen yang tinggi terhadap keadilan sosial dan kesejahteraan ekonomi semua ahli masyarakat. Dalam keadaan tertentu, mungkin kita berhadapan dengan keputusan klien yang boleh menjejaskan ahli masyarakat lain. Sebagai contoh, seorang pesakit mental yang mengalami trauma kerana didera semasa kanak-kanak, berkeinginan untuk mendera kanak-kanak lain. Dalam keadaan ini, kita sebagai pekerja sosial perlu mempertimbangkan kesejahteraan ahli masyarakat keseluruhannya, mungkin dalam keadaan tertentu, kita perlu mengambil tindakan dengan melibatkan pihak ketiga dan melanggar nilai hubungan kerahsiaan.

0 comments: